Search

1,000 penunggang motosikal berkuasa besar berkampung di KK

October 13, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lebih 1,000 penunggang motosikal berkuasa besar dari pelbagai negara bakal berkampung di sini sempena Festival Pemotoran Berkuasa Besar Antarabangsa Pulau Borneo (BIIBBF), akhir bulan ini.

Presiden Persatuan Penunggang Motosikal Besar Sabah (SBBA), Datuk Osman Ahmed, berkata festival tiga hari itu yang bermula pada 25 Oktober ini dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Katanya, selain peserta tempatan Sabah, Sarawak dan Labuan, festival itu turut disertai peserta dari Brunei Darusalam, Indonesia, Singapura, Korea, India, Filipina, Myanmar dan Afrika Selatan.

“Sabah sekali lagi menjadi tuan rumah BIIBBF yang ke-22. Festival ini untuk memupuk hubungan silaturahim dalam kalangan pemilik dan penggiat motosikal berkuasa besar.

“Setakat ini pendaftaran yang kita terima adalah lebih 1,000 peserta. Kami turut menjangkakan kehadiran pengunjung dari luar antara 5,000 hingga 10,000 orang,” katanya pada sidang media mengenai festival itu, di sini, semalam.

Osman berkata, festival itu turut dimeriahkan dengan program Jelajah Bandaraya atau ‘City Ride’ yang dijangka disertai Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan 500 penunggang motosikal berkuasa tinggi.

Perasmian festival itu dijangka disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Festival berkenaan turut diselitkan dengan pelbagai acara, termasuk jualan motosikal dan peralatan motosikal, selain gerai makanan yang dikendalikan usahawan tempatan Sabah. – Info X