KENINGAU: Seorang lelaki cedera dalam kebakaran membabitkan tiga rumah sewa di Kampung Patikang Ulu, di sini, pagi ini.
Mangsa yang melecur pada bahagian tangan dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.50 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak enam kilometer dari balai bomba.
“Kebakaran membabitkan tiga buah rumah sewa jenis tidak keka terbakar sepenuhnya.
“Terdapat seorang mangsa terbabit cedera melecur di tangan dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan dua aliran, dua pancutan dari sumber air jentera dan pili bomba berhampiran.
“Api berjaya dikawal pada 7.34 pagi. Kerja-kerja memadam bara-bara api masih dijalankan.
“Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X