Search

10,000 orang didakwa sertai Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah

December 29, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sekretariat Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah menjangkakan kira-kira 10,000 orang bakal menyertai perhimpunan itu yang dirancang pada 31 Disember ini.

Mereka mendakwa jumlah itu berdasarkan maklum balas melalui media sosial yang menunjukkan naratif perhimpunan berkenaan berpihak kepada rakyat.

Menerusi satu kenyataan, di sini, sekretariat itu berkata perhimpunan berkenaan tetap diteruskan walaupun cuba dihalang pihak tertentu.

“Sekretariat Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah tetap meneruskan perhimpunan ini tanpa kompromi.

“Ini adalah simbol kemarahan dan kemuakan rakyat yang sudah terpendam lama akibat isu rasuah yang melibatkan bukan sahaja politikus kerajaan hari ini, juga daripada pihak pembangkang.

“Pihak Sekretariat sudah menyusun dengan sangat teliti dan tahap kebersediaan yang tinggi untuk memastikan perhimpunan ini berjalan lancar,” katanya.

Perhimpunan anjuran Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dirancang bermula pada jam 2 petang, Selasa ini.

Pelajar dan orang ramai yang menyertai perhimpunan itu dijadual berkumpul di hadapan pintu masuk UMS dan Mini Putrajaya sebelum berarak ke lokasi perhimpunan di hadapan Menara Kinabalu.

Sementara itu, sekretariat berkenaan menyifatkan Karnival Ria Kinabalu anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Jabatan Ketua Menteri yang diadakan pada tarikh sama 31 sebagai langkah untuk menghalang dan mengganggu Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah yang terlebih dahulu dijadualkan.

“Ekoran daripada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengeluarkan notis penutupan jalan kononnya untuk memberi ruang kepada karnival tersebut.

“Namun, kita yakin bahawa penutupan jalan itu adalah untuk kita, rakyat yang akan turun berhimpun melawan korupsi yang berlaku di negeri Sabah kita yang tercinta.

“Pihak sekretariat sudah menjangkakan perkara sebegini akan berlaku sebagai cara untuk melemahkan kita. Kita sudah bersiap sedia lebih awal.

Sekretariat itu menyifatka Karnival Ria Kinabalu adalah satu bentuk prop yang dibuat oleh kerajaan dan dianjurkan secara serkap jarang tanpa ada perasmi, manakala poster yang dihebahkan hanya beberapa hari sebelum karnival berlangsung.

“Jelas bahawa karnival ini diadakan hanya kerana kita, mahasiswa dan rakyat Sabah akan berhimpun melawan kerosakan yang berlaku di negeri ini.

“Melalui aktiviti yang diadakan dalam karnival serkap jarang ini, sudah pasti akan menarik keluarga untuk datang dan membawa anak anak kecil ke karnival (seperti pertandingan mewarna).

“Ini menunjukkan tahap keprihatinan penganjur yang cetek kerana dalam masa yang sama, dijadualkan ada perhimpunan aman besar-besaran sedang berlaku.

“Ini akan merisikokan keselamatan keluarga terutamanya anak-anak kecil. Adakah penganjur lebih mementingkan prop karnival ini untuk menghalang perhimpunan lebih dari keselamatan rakyat,” katanya. – Info X