KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah menyelar tindakan aktivis Fahmi Reza membuat dan menyebarkan karikatur kontroversi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Pengerusinya, Lahirul Latigu, berkata perbuatan itu tidak wajar kerana menghina institusi TYT sebagai ketua negeri, selain boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat Sabah.
“Tindakan seperti ini bukan saja mencerminkan kurangnya rasa hormat terhadap simbol negeri tetapi juga berpotensi menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat Sabah.
“TYT bukan sekadar seorang individu tetapi adalah institusi penting dalam struktur pentadbiran negeri Sabah. Beliau merupakan lambang kedaulatan, perpaduan, dan kestabilan negeri ini.
“Sebagai figura neutral tanpa pengaruh politik, TYT memainkan peranan besar dalam menjaga integriti sistem pentadbiran negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, TYT adalah Ketua Negeri Sabah yang memainkan peranan penting dalam sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.
“Walaupun Sabah tidak mempunyai raja seperti negeri-negeri beraja di Semenanjung, TYT berfungsi sebagai simbol kedaulatan negeri.
“Kedudukannya adalah unik kerana TYT dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, menjadikannya wakil tertinggi Sabah dalam kerangka Persekutuan Malaysia.
“Jawatan TYT ini menggantikan peranan seorang Raja, dengan tanggungjawab besar dalam memastikan pentadbiran negeri Sabah berjalan mengikut peruntukan perlembagaan dan menjaga keharmonian politik serta perpaduan rakyat,” katanya.
Katanya, AMANAH sentiasa menyokong kebebasan bersuara seperti yang dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun kebebasan itu mesti digunakan dengan bertanggungjawab.
Jelasnya, apa-apa tindakan yang menghina simbol negeri, termasuk TYT, adalah bertentangan dengan nilai adab dan tatasusila rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah yang terkenal dengan budaya hormat-menghormati.
“Sebarang penghinaan terhadap TYT adalah sama dengan merendahkan maruah dan identiti negeri Sabah itu sendiri.
“Sabah adalah negeri yang kaya dengan tradisi, adat dan perpaduan pelbagai kaum dan agama. Tindakan seperti ini boleh mengundang perpecahan di kalangan rakyat dan mencetuskan ketegangan yang tidak perlu.
“TYT juga melambangkan hubungan erat Sabah dengan Persekutuan Malaysia. Sebagai wakil tertinggi negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, beliau memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan politik dan pentadbiran negeri.
“Oleh itu, apa-apa penghinaan terhadap TYT turut mencerminkan sikap tidak menghormati sistem Persekutuan yang mendukung hubungan antara negeri dan kerajaan Pusat,” katanya.
Sehubungan itu, katanya AMANAH Sabah menyeru semua pihak, termasuk seniman dan aktivis, untuk lebih peka terhadap sensitiviti rakyat Sabah.
Lahirul berkata, kritikan dan satira adalah sebahagian daripada demokrasi tetapi ia harus dilakukan secara beradab dan bertanggungjawab.
“Kami juga menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap isu ini dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat unsur yang melanggar undang-undang.
“Pada masa yang sama, kami menyeru semua rakyat Sabah untuk mengekalkan perpaduan dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif yang boleh memecahbelahkan keharmonian negeri.
“TYT adalah lambang maruah dan kedaulatan negeri Sabah. Sebagai rakyat Sabah, kita bertanggungjawab mempertahankan institusi ini daripada apa-apa bentuk penghinaan.
“AMANAH Sabah menegaskan bahawa penghormatan kepada TYT adalah penghormatan kepada negeri Sabah. Sabah adalah negeri yang unik dalam Persekutuan Malaysia dan maruahnya mesti dipelihara oleh semua pihak.
“Kami berdiri teguh bersama rakyat Sabah untuk mempertahankan integriti negeri ini,” katanya. – Info X