TAWAU: Seramai 108 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia dihantar pulang ke negara asal mereka menerusi Program Pemindahan PATI yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah.
Semua tahanan berkenaan dipindahkan dari Depot Imigresen Tawau sebelum dibawa ke Terminal Feri Tawau untuk pelayaran ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, daripada jumlah itu, seramai 82 adalah lelaki manakala 26 lagi wanita, berusia lingkungan 18 hingga 65 tahun.
Katanya, semua mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.
“Semua PATI terbabit telah menjalani hukuman penjara sebelum dihantar pulang selepas melengkapkan dokumentasi perjalanan masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Sitti Saleha berkata pihaknya turut melaksanakan pemindahan lapan lagi PATI pada 30 Julai lalu.
Menurutnya, ia melibatkan tujuh lelaki warganegara Pakistan dan seorang lelaki warganegara Indonesia dari Depot Imigresen Sandakan.
Katanya, mereka dihantar pulang ke negara asal masing-masing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
“Sehingga kini, seramai 1,283 PATI warganegara Indonesia telah dihantar pulang melalui pelbagai pintu masuk di Sabah.
“Jumlah itu menyumbang kepada angka keseluruhan 6,454 PATI pelbagai warganegara yang berjaya dihantar pulang ke negara asal setakat ini.
“Daripada jumlah itu, warganegara Filipina mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 4,989 orang, diikuti warga Pakistan (104 orang), China (48 orang), Vietnam (11 orang) dan 19 orang lagi daripada lain-lain warganegara,” katanya.
Sitti Saleha berkata, JIM Sabah akan terus komited dalam memastikan tiada ruang untuk warga asing menyalahgunakan pas lawatan atau kemudahan yang diberi kerajaan.
“Tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana majikan atau pemilik premis yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah, selain individu yang melanggar syarat pas atau permit mengikut Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – Info X