Search

Ops Sapu: 11 warga Pakistan ditahan di Semporna

July 31, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 11 warga Pakistan dalam satu operasi ‘Op Sapu’ yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.

Operasi yang diketuai Unit Penguatkuasaan Pejabat Imigresen Semporna itu bermula jam 11 malam hingga 3 pagi dan disertai 12 pegawai penguat kuasa.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan awal serta aduan awam berhubung kehadiran warga asing tanpa dokumen sah.

“Hasil pemeriksaan terhadap 13 individu yang disyaki warga asing, seramai 11 lelaki warganegara Pakistan ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Tawau bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

Lelaki warga Pakistan yang ditahan dalam operasi Op Sapu di Semporna.

“Siasatan awal mendapati antara mereka mendakwa memiliki pas jaminan pasangan kepada warganegara Malaysia manakala seorang lagi mengaku mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk bekerja di Kota Kinabalu.

“Namun begitu, kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri ini.

“Orang awam digesa menyalurkan maklumat berkaitan PATI atau premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah kepada pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.

Sitti Saleha berkata, JIM Sabah kekal komited dalam memastikan hanya individu yang mematuhi undang-undang imigresen dibenarkan berada dan bekerja di Malaysia.

“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi mengesan, menangkap, mendakwa serta memindah warga asing yang melanggar undang-undang negara mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya. – Info X