Search

1,088 pelajar baharu Program Asasi mendaftar di UMS

June 18, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 1,088 pelajar baharu Program Asasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) diambil mengikuti pengajian bagi sesi akademik 2026/2027.

Kemasukan pelajar terbabit bermula Isnin lalu, didahului dengan program Minggu Suai Mesra (MSM) selama dua hari hingga Selasa.

Majlis penutupan MSM yang diadakan di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2 UMS disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor.

Dalam ucapannya, Kasim menzahirkan ucapan tahniah kepada pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian ke UMS.

Beliau turut mengingatkan pelajar agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan, termasuk penglibatan dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum bagi membina keyakinan diri serta jati diri sebagai mahasiswa.

Sementara itu, Pengarah Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), Prof Madya Dr Newati Wid berkata, jumlah pelajar kali ini mencerminkan komitmen UMS dalam melahirkan bakat berpotensi dari seluruh negara dalam empat program asasi iaitu Asasi Sains, Asasi Teknologi Maklumat, Asasi Agrisains dan Asasi Sains Sosial.

“Program asasi berperanan sebagai fasa peralihan penting daripada alam persekolahan kepada budaya pembelajaran universiti yang menuntut pemikiran lebih matang dan kritis sebelum melangkah ke peringkat ijazah,” katanya.

Sempena majlis itu, pelajar baharu turut melafaz ikrar sebagai simbol komitmen terhadap nilai integriti, disiplin dan kecemerlangan. – Info X