KENINGAU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di Jalan Dabata, Tambunan, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa, Betus Yussof, 52, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu sebuah Toyota Hilux dari arah Tambunan menuju ke kediamannya di Kampung Rompon, Tambunan.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian yang merupakan jalan selekoh menaiki bukit, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dan terbalik di bahu kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Tambunan.

“Pemeriksaan di lokasi turut mendapati kenderaan terbabit mengalami kerosakan teruk termasuk tayar hadapan kiri tercabut selain kerosakan pada bahagian bonet, bampar dan fender hadapan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X