TAWAU: Polis menyita 11 motosikal selain menahan seorang penunggang yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol menerusi Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk di beberapa lokasi sekitar daerah ini, semalam.
Operasi bermula jam 10 malam hingga 2 pagi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Jalan Apas, Jalan Chong Thien Vun dan Jalan Kabota.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras kegiatan lumba haram, mengesan pemandu mabuk serta memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang lalu lintas.
Katanya, sebanyak 24 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan membabitkan penunggang motosikal.
“Antara kesalahan dikesan termasuk memandu tanpa lesen, mengubah suai ekzos dan struktur kenderaan, menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, memandu di bawah umur, tiada cermin pandang belakang, brek tidak berfungsi dengan baik serta lesen memandu tamat tempoh.
“Sebanyak 11 motosikal turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, seramai 55 individu dan 52 kenderaan pelbagai jenis diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
Wilynton berkata, dalam Op Mabuk pula, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan selepas ujian saringan awal menggunakan Screening Device 2 Plus (SD2+) mengesan kandungan alkohol dalam badannya.
Katanya, suspek kemudian dibawa ke pejabat BSPT IPD Tawau bagi menjalani ujian pengesahan menggunakan Evidential Breath Analyzer (EBA II).
“Hasil ujian mendapati bacaan alkohol melebihi had yang dibenarkan.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala motosikal yang digunakannya turut disita bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, operasi seumpama itu akan terus dipergiat dari semasa ke semasa di lokasi dan waktu berbeza bagi membanteras kegiatan samseng jalanan, lumba haram serta pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
Tegasnya, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja melanggar undang-undang sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Jangan jadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan atau medan untuk menunjukkan kehebatan.
“Keseronokan hanya seketika, tetapi akibatnya boleh membawa kehilangan nyawa, kecederaan serius selain tindakan undang-undang yang memberi kesan kepada masa depan,” katanya.
Menurutnya, pengguna jalan raya juga tidak seharusnya beranggapan mereka akan terlepas daripada tindakan hanya kerana tidak ditahan ketika operasi dijalankan.
Katanya, rakaman telefon bimbit, kamera papan pemuka dan kamera litar tertutup yang memaparkan aksi berbahaya boleh dijadikan bahan siasatan.
“Setiap rakaman video, gambar atau maklumat yang diterima akan diteliti dan sekiranya terdapat bukti mencukupi, individu serta kenderaan terbabit boleh dikenal pasti sebelum tindakan diambil,” katanya.
Beliau turut menyeru ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak terutama pada waktu malam bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam aktiviti lumba haram atau pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi undang-undang. – Info X