KOTA KINABALU: Jesselton Berselawat 2026 yang berlangsung di Jeti DBKK, di sini, pada 18 Julai 2026 berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat bagi menyemarakkan budaya berselawat serta mengangkat nilai kasih sayang dan perpaduan.
Inisiatif Sekretariat Borneo Berselawat (SBB) itu membawa tema ‘Menjunjung Adab & Keharmonian’ dengan slogan ‘Dari Borneo Untuk Rasulullah SAW’ bagi sama-sama berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Program dimulakan dengan perarakan selawat dari Todak Waterfront menuju ke Jeti DBKK sebelum diteruskan dengan pelbagai pengisian termasuk bacaan doa, persembahan qasidah, puisi etnik, persembahan silat, busking berunsur dakwah, tazkirah serta selawat dan doa penutup.
Keseluruhan pengisian sepanjang program itu disusun bagi menampilkan dakwah yang dekat dengan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Pengerusi Sekretariat Borneo Berselawat, Kefayatullah Malik Aman, berkata penganjuran Jesselton Berselawat bukan sekadar sebuah program keagamaan, malah satu gerakan dakwah yang membawa mesej ‘Muhammad For All’.
Katanya, ungkapan itu memberi kefahaman bahawa Nabi Muhammad SAW diutus sebagai Rasulullah yang membawa rahmat untuk seluruh alam tanpa mengira bangsa, budaya mahupun agama.
“Pendekatan ini diterjemahkan melalui penglibatan pelbagai komuniti, penggunaan seni budaya tempatan, puisi bahasa etnik, qasidah dan pengagihan bunga ros sebagai simbol kasih sayang.
“Ini sekali gus memperlihatkan bahawa Islam adalah agama yang membawa kedamaian, adab dan keharmonian dalam masyarakat majmuk Sabah,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), semua rakan strategik, penaja, sukarelawan serta ahli jawatankuasa pelaksana atas kepercayaan, kerjasama dan komitmen yang diberikan sehingga program itu dapat berlangsung dengan lancar.
Sekretariat Borneo Berselawat berharap Jesselton Berselawat akan terus menjadi platform tahunan dalam memperkukuhkan ukhuwah, menyebarkan mesej Rahmatan Lil ‘Alamin serta menjadikan Sabah sebagai contoh penganjuran program dakwah yang meraikan kepelbagaian budaya dengan berteraskan kecintaan kepada Rasulullah SAW. – Info X