PUTATAN: Sebanyak 11 buah rumah jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Pasir Putih, di sini, tengah hari tadi.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera atau melibatkan kemalangan jiwa dalam kejadian berkenaan.
Dalam kejadian jam 1.35 itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan menerima panggilan kecemasan sebelum jentera pertama tiba di lokasi enam minit kemudian, pada jam 1.41 tengah hari.
Operasi pemadaman digerakkan dengan kekuatan 32 anggota daripada BBP Putatan, BBP Penampang dan BBP Kota Kinabalu, dibantu Unit Komunikasi, membabitkan penggunaan jentera FRT, EMRS, kenderaan utiliti serta lori tangki air.
Ketua BBP Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, kebakaran membabitkan 11 buah rumah jenis tidak kekal dengan anggaran keluasan kira-kira 25 meter persegi bagi setiap unit.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.33 petang.

“Sehingga kini, operasi pemadaman serta pemeriksaan lanjut masih dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, operasi turut diselia pegawai kanan JBPM Sabah dengan bantuan PDRM serta Sabah Electricity.
“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
“Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X