KOTA KINABALU: Seorang ustaz yang tular menerusi rakaman video memukul sekumpulan pelajar madrasah didenda keseluruhan RM18,200 selepas mengaku bersalah atas 13 pertuduhan menyebabkan kecederaan, di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Saifur Rahman Mohd Ismail, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus, yang kemudian menjatuhkan denda RM1,400 bagi setiap pertuduhan atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap 13 pelajar lelaki berusia antara 14 hingga 20 tahun di hadapan sebuah kedai permainan di sini, antara jam 11.55 malam hingga 11.58 malam, pada 14 Disember lalu.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Ketika rayuan, peguam Mohd Ari Nadzrah Abd Rahman memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh bekerja sebagai ustaz dengan sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan serta merupakan pesalah pertama.
Menurutnya, kejadian berlaku selepas tertuduh mendapati mangsa keluar dari asrama pada lewat malam, namun mengakui perbuatan memukul bukan alasan yang wajar, sebaliknya hanya faktor mitigasi untuk dipertimbangkan mahkamah.
“Selain itu, siasatan mendapati semua mangsa hanya mengalami kecederaan tisu lembut dan lebam, manakala laporan polis juga dibuat oleh pihak polis sendiri, bukan oleh mangsa atau ibu bapa mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon hukuman setimpal atau lebih berat dengan mengambil kira kepentingan awam serta keseriusan kes, selain sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan sama.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa laporan polis dibuat pada 15 Disember lalu kira-kira jam 7.07 malam selepas video kejadian berkenaan tular, yang memaparkan tertuduh memukul mangsa menggunakan topi keledar.
Hasil siasatan mendapati tertuduh tidak menyedari perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di luar premis berkenaan, sebelum kesemua mangsa dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak serta Hospital Queen Elizabeth dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut.
Difahamkan, tertuduh telah menjelaskan sepenuhnya denda yang dikenakan.
Siasatan kes ini dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Polis Rismahwati @ Juliza Suriansah. – Info X