KOTA KINABALU: Sebanyak 11 rumah setinggan dan tiga kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Delima, Lorong 7, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, api marak dengan cepat memusnahkan lapan rumah tidak kekal dan tiga rumah separuh kekal.
Selain itu, tiga kenderaan turut terbakar iaitu sebuah pacuan empat roda Nissan Navara, sebuah Proton Waja dan sebuah motosikal.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata, sepasukan 18 anggota bersama 10 anggota dari BBP Lintas digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 5.11 petang.
“Pasukan bomba bertindak menggunakan kaedah ofensif dan defensif dengan tiga aliran, empat pancutan hos menggunakan sumber air dari jentera bomba.
“Api berjaya dikawal pada jam 5.50 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.40 malam.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.
Operasi turut dibantu tujuh anggota polis, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), empat anggota RELA serta dua kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd. – Info X