Search

Naik taraf Lapangan Terbang Tawau kukuhkan jaringan udara, pertumbuhan sektor pelancongan

September 30, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) mengalu-alukan projek naik taraf Lapangan Terbang Tawau yang disifatkan sebagai pemangkin penting dalam memperkukuh kesalinghubungan udara dan merancakkan pertumbuhan pelancongan negeri.

Menterinya, Datuk Seri Christina Liew berkata, usaha yang diperjuangkan sejak 2018 itu merupakan pencapaian signifikan kerana ia mampu mempertingkatkan pengalaman pelawat dan menyokong aspirasi pembangunan Sabah.

“Kami mengalu-alukan projek naik taraf Lapangan Terbang Tawau yang tepat pada masanya ini kerana ia akan meningkatkan dengan ketara laluan ke Pantai Timur Sabah, sekali gus menyokong kemasukan pelancongan yang semakin meningkat serta menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih baik.

“Kami juga yakin projek ini akan membawa kesan yang positif kepada komuniti setempat dan ekonomi negeri secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini.

Liew turut merakamkan penghargaannya kepada pihak pengurusan lapangan terbang dan syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MasWings yang terus menyokong usaha mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan.

Menurut Liew, KePKAS akan bekerjasama rapat dengan agensi persekutuan, syarikat penerbangan dan juga pemain industri, bagi memaksimumkan potensi lapangan terbang yang akan di naik taraf itu, selain mengekalkan Sabah sebagai destinasi utama berteraskan Culture, Adventure and Nature (CAN).

Beliau turut menegaskan, Lapangan Terbang Tawau merupakan pintu masuk utama ke Pantai Timur Sabah, yang menghubungkan pelawat ke destinasi antarabangsa yang terkenal seper Semporna dan Sipadan.

Statistik menunjukkan lapanganterbang tersebut telah melebihi kapasiti reka bentuk asal, iaitu 1.5 juta penumpang setahun, dengan merekodkan 1.71 juta pergerakan pada 2023. Ketika ini, lapangan terbang menerima 158 penerbangan berjadual setiap minggu dengan kapasiti 28,185 tempat duduk, yang bersamaan lebih 110,000 penumpang sebulan.

Dari segi kesalinghubungan, laluan domestik melibatkan Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Sandakan dan juga Johor Bahru, manakala penerbangan carter dari Nanjing dan Guangzhou, China turut direkodkan pada tahun lalu.

Berdasarkan data Lembaga Pelancongan Sabah dari Januari hingga Julai 2025, negeri ini telah mencatatkan rekod ketibaan pelancong sebanyak 2.13 juta, meningkat sebanyak 20.3 peratus berbanding 1.76 juta dalam tempoh sama ada pada 2024.

“Pertubuhan kukuh ini membuktikan peranan Tawau sebagai salah satu pintu masuk paling sibuk di Sabah dan pemacu utama pembangunan pelancongan persisiran timur,” katanya. – Info X