KOTA KINABALU: Kinabatangan yang kini diiktiraf sebagai Rizab Biosfera di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB) UNESCO bakal menarik perhatian dunia, khususnya dalam bidang penyelidikan dan pendidikan.
Menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang penting, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia juga dijangka meningkatkan pelancongan berasaskan alam semula jadi dan peluang kerjasama global.
Katanya, pengiktirafan itu adalah satu pencapaian penting dalam usaha berterusan negeri untuk memelihara kelestarian alam sekitar dan biodiversiti di peringkat global.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan usaha pemuliharaan biodiversiti, memperluas program kesedaran masyarakat dan meningkatkan kerjasama strategik bagi memastikan manfaat daripada pengiktirafan ini dapat dinikmati secara meluas dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Selasa.
Pengiktirafan berprestij itu diumumkan pada Sesi ke-37 Majlis Penyelarasan Antarabangsa Program Man and the Biosphere (MAB) (ICC) yang diadakan pada 27 September di Hangzhou, China.
Ketua Menteri berkata Jemaah Menteri meluluskan hasrat untuk mencalonkan Kinabatangan sebagai Rizab Biosfera pada 30 Mac 2022 dan dokumen pencalonan itu diluluskan pada 7 Ogos 2024.
Proses pemilihan yang berlangsung selama dua tahun, dari 2022 hingga 2024, diketuai oleh Pusat Biodiversiti Sabah dengan kerjasama strategik pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak industri serta komuniti tempatan.
Dengan pengiktirafan itu, Kinabatangan kini menjadi Rizab Biosfera kedua di Sabah selepas Rizab Biosfera Banjaran Crocker, dan yang keempat di Malaysia. UNESCO secara rasmi mengiktiraf Rizab Biosfera Banjaran Crocker pada 12 Jun 2014.

Sehingga kini, terdapat 759 Rizab Biosfera di 136 negara di seluruh dunia.
Pengiktirafan itu dibuat berdasarkan penilaian terhadap ekologi unik Kinabatangan, kekayaan biodiversiti dan amalan pengurusan mampan yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan di kawasan berkenaan.
Selain itu, Jawatankuasa Penasihat MAB UNESCO yang menjalankan penilaian awal memuji kualiti tinggi dokumen pencalonan, penyampaian maklumat yang jelas serta penglibatan meluas pihak berkepentingan melalui proses rundingan selama 22 bulan.
Rizab Biosfera Kinabatangan meliputi kawasan seluas 413,866 hektar, sekali gus menjadi khazanah semula jadi yang kaya dengan biodiversiti unik serta warisan budaya yang tidak ternilai.
Dengan panjang sejauh 560 kilometer di sepanjang Sungai Kinabatangan, kawasan itu menjadi habitat penting bagi 315 spesies burung, 100 spesies reptilia, 33 spesies amfibia, 127 spesies mamalia dan lebih daripada 1,000 spesies tumbuhan vaskular.
Kawasan itu juga adalah habitat bagi beberapa spesies endemik, jarang ditemui dan terancam seperti orang utan (Pongo pygmaeus), gajah Borneo (Elephas maximus borneensis), monyet probosis (Nasalis larvatus), beruang matahari (Helarctos malayanus), harimau dahan (Neofelis diardi) dan lapan spesies burung enggang yang asli Sabah.
Menariknya, pengiktirafan Rizab Biosfera Kinabatangan turut menyokong usaha pemeliharaan dialek Sungai, yang kini disenaraikan sebagai Sangat Terancam dalam Atlas Bahasa Dunia yang Terancam di bawah UNESCO. – Info X