KOTA KINABALU: Industri pelancongan Sabah terus menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan 2.46 juta ketibaan dari Januari hingga Ogos 2025, peningkatan 17.3 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Datuk Seri Christina Liew berkata, jumlah itu terdiri daripada 1,029,864 ketibaan antarabangsa dan 1,426,548 ketibaan domestik.
“Pencapaian ini mewakili 70.2 peratus daripada sasaran 3.5 juta pelancong yang ditetapkan bagi tahun 2025. Saya yakin sasaran tersebut mampu dicapai menjelang 31 Disember.
“Hasil pelancongan juga dianggarkan berjumlah RM5.75 billion, iaitu peningkatan sebanyak 17.7 peratus berbanding dengan tempoh sama tahun lalu,” katanya selepas meninjau perkhidmatan Bas Bandar Dua Tingkat Hop-on, Hop-off pada isnin.
Menurutnya, Sabah kini dihubungkan ke 14 destinasi antarabangsa dengan 125 penerbangan yang menyediakan 22,732 tempat duduk. Data lembaga Pelancongan Sabah (STB) turut menunjukkan pasaran utama yang merekodkan pertumbuhan sepanjang lapan bulan pertama pada tahun ini, termasuk China, Jepun, Taiwan, Australia, dan United Kingdom.
Liew yang diiringi oleh Pengerusi KK Hop-On, Hop Sdn Bhd, Datuk Tan Kok Liang, menyifatkan bas dua tingkat itu sebagai produk pelancongan baharu untuk sabah.
“KePKAS dan STB menyokong penuh inisiatif ini bagi merancakkan pertumbuhan pelancongan” katanya.
Beliau berkata idea memperkenalkan perkhidmatan tersebut tercetus selepas beliau melihat bas pelancongan dua tingkat di London ketika menghadiri World Travel Market (WTM) pada 2023.
Liew turut menjangkakan perkhidmatan Hop-on, Hop-off Day Tour itu akan menjadi pilihan popular pelancong domestik dan antarabangsa yang ingin menerokai bandar serta mercu tanda utama. Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memperluaskan laluan perkhidmatan ke destinasi luar Kota Kinabalu seperti Taman Kinabalu dan Kota Belud.
Dalam pada itu, beliau turut memuji Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan agensi berkaitan kerana mengekalkan kebersihan bandar.
Sementara itu, Tan berkata perkhidmatan bas bandar itu dicetuskan oleh Menteri dua tahun lalu dan mengambil masa yang panjang untuk dilaksanakan.
“Kami bermula dengan dua buah bas, namun secara idealnya, tiga diperlukan. Kami akan mempertimbangkan untuk menambah satu lagi unit dengan infrastruktur yang lebih baik dan aliran trafik yang lancar,” katanya.
Menurutnya, pembinaan bas tersebut dilakukan di Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Sabah, dengan bantuan dan sokongan Datuk Bandar Kota Kinabalu. – Info X