KOTA KINABALU: Ratusan ‘met rempit’ yang menjadikan malam minggu untuk berlumba bertempiaran lari apabila ‘port’ mereka di Jalan UMS, di sini, digempur pasukan polis, dalam Op Samseng Jalanan bermula 9 malam hingga 5.30 pagi, hari ini.
Bagaimanapun kecekapan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, berjaya menyita sebanyak 111 motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, serbuan menerusi Op Samseng Jalanan di laluan yang sering dijadikan sebagai ‘gelanggang rempit’ itu berjaya menyita 111 motosikal yang ditinggalkan serta menahan dua penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya.

“Kedua-dua suspek yang ditahan masing-masing berusia 18 dan 21 tahun manakala salah seorang daripada mereka didapati tidak mempunyai lesen memandu.
“Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun turut ditahan kerana memalsukan nombor pendaftaran motosikal selain turut tidak mempunyai lesen memandu sah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 81(3) dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengulas lanjut, beliau berkata, 108 daripada 111 buah motosikal yang disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dua yang lain mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sebuah lagi mengikut Seksyen 108(3)(f) akta sama.
“Pengeluaran saman akan dikeluarkan apabila penunggang atau pemilik motosikal datang ke IPD Kota Kinabalu untuk menuntut motosikal masing-masing berikutan ramai penunggang yang diperangkap dalam operasi ini meninggalkan motosikal dan melarikan diri.
“Pada masa sama, hasil pemeriksaan terhadap 168 orang penunggang termasuk pembonceng turut mengeluarkan 21 keping saman mengikut saman K257,” katanya.

Tambahnya, penugasan Op Samseng Jalanan dan Op Mat Rempit ni akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya. – Info X