Search

D9 JSJ cekup dua bekas banduan terbabit kes pecah rumah, kedai dan bengkel

March 3, 2024

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis bertindak pantas apabila berjaya menahan dua bekas banduan yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah, kedai dan bengkel di daerah ini dan Penampang, hari ini.

Kedua-dua suspek lelaki berusia 25 dan 32 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, di kawasan stesen minyak di Jalan Lintas Luyang, jam 3.30 pagi.

Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner, Azmi Abd Rahim berkata, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek menemui beberapa alat dipercayai digunakan untuk pecah rumah yang disimpan di dalam beg milik suspek.

“Pemeriksaan selanjutnya kedua-dua suspek ini dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah, kedai dan bengkel di sekitar bandar raya ini dan Penampang.

“Kedua-dua suspek turut mengaku terbabit dalam pecah masuk beberapa kedai runcit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Peralatan disyaki digunakan untuk melakukan jenayah pecah rumah turut dirampas pasukan D9 JSJ Sabah.

Azmi berkata, kedua-dua suspek yang ditahan juga adalah bekas banduan dan juga dipercayai terbabit dalam penagihan dadah.

“Tangkapan dan rampasan barangan kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan masih lagi diteruskan untuk mengesan kemungkinan ada lagi rakan sejenayah suspek dan mengenal pasti pembabitan suspek dalam kes lain,” katanya.

Tambahnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan pecah rumah. – Info X