Search

Pandu melulu selepas bertengkar punca mertua, menantu mau kemalangan

March 3, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Pandu melulu selepas bertengkar dipercayai punca mertua, menantu maut kemalangan apabila kereta dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam laut di kolam ikan Payang, di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, dalam kejadian itu kereta Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 26 tahun bersama seorang lelaki dipercayai bapa mertuanya.

Katanya, menurut saksi kejadian, mangsa percayai bertengkar mulut dengan mertuanya.

“Ketika itu, saksi menyuruh mangsa menghantar bapa mertuanya balik ke rumah dan datang semula ke lokasi untuk mengambil ahli keluarganya yang lain yang turut sama berada di lokasi.

“Menurut saksi lagi, dia sendiri mengiringi mangsa ke kenderaan. Ketika dalam kereta, mangsa yang memandu manakala bapa mertuanya duduk di bahagian tempat duduk penumpang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pada masa yang sama tiba-tiba kereta itu dipandu secara melulu oleh mangsa dan terus terjunam ke dalam laut.

“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu bersama orang awak yang ada di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya lagi, hasil siasatan pihak polis mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu Perodua Myvi yang gagal mengawal kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kenderaan terjunam ke dalam laut.

“Difahamkan mangsa bersama mertuanya dan keluarganya yang lain berada di kawasan itu untuk beriadah.

“Siasatan diteruskan dan mana-mana individu yang melihat kejadian ini, boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik IPD Lahad Datu, Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881255 sambungan 414 untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Dalam kejadian jam 10.20 malam tadi, dua lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam laut dekat Jalan Batu 7, Kampung Payang, di sini.

Mangsa, Edwin, 25, dan bapa mentuanya, Chan Wai Hou, 66, ditemukan lemas oleh pasukan bomba yang terbabit operasi mencari dan menyelamat (SAR). – Info X