Search

Mertua, menantu maut kereta terjunam ke dalam laut

March 3, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Dua lelaki ditemukan maut akibat lemas apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam laut di Jalan Batu 7, Kampung Payang, Lahad Datu, malam tadi.

Mayat dikenali sebagai Edwin, 25, dan bapa mertuanya Chan Wai Hou, 66, ditemukan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pasukan bomba.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.50 malam.

Katanya, seramai lapan anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipercayai terbabas sendiri dan terjunam ke dalam laut. Menurut pemanggil terdapat dua mangsa terbabit dan belum ditemui.

“Pasukan bomba menjalankan operasi penyelamatan dengan bantuan bot dan penyelam Syarikat Synergy Multi Resources Sdn Bhd,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota bomba membawa naik mangsa yang ditemui lemas di Batu 7, Kampung Payang, Lahad Datu. – Foto/Bomba
.

Menurutnya, selaman pertama berjaya menarik seorang mangsa keluar dari kereta dan dibawa naik pada 12.06 tengah malam.

“Tindakan seterusnya mengikat tali pada kereta Myvi untuk ditarik menggunakan sistem takal ke kawasan yang lebih cetek untuk mencari mangsa kedua.

“Selaman kedua dilakukan oleh pasukan bomba dan mangsa kedua berjaya ditemui pada 1.31 pagi,” katanya.

Riki berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.

“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan pada jam 1.58 pagi,” katanya.

Operasi SAR turut dibantu pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu. – Info X