SANDAKAN: Dua beranak maut selepas kereta dinaiki dihempap sebuah lori dalam kejadian di Batu 25, Jalan Labuk, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.27 tengah hari itu, mangsa yang maut adalah pemandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback berusia 36 tahun dan anak perempuannya berusia 12 tahun.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta dinaiki tujuh sekeluarga itu bergerak dari arah Sandakan menuju ke Beluran.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori muatan baja yang dipandu lelaki berusia 36 tahun bersama penumpangnya iaitu isteri serta dua anak lelaki pasangan itu dipercayai hilang kawalan.
“Lalu terbabas ke kiri jalan dan terbalik sebelum menghempap kereta dinaiki tujuh sekeluarga yang berada di hadapannya. Ketika itu kereta dalam keadaan berhenti untuk memasuki simpang di kanan jalan,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Abdul Fuad berkata, Impak kemalangan itu, pemandu Proton Iswara Aeroback dan seorang anaknya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala lima lagi penumpang hanya cedera ringan.
“Pemandu lori dan semua penumpangnya hanya cedera.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X