Search

1,195 jemaah haji Sabah, Labuan berlepas ke Tanah Suci tahun ini

May 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 1,195 jemaah dari Sabah dan Labuan bakal menunaikan ibadah haji di Tanah Suci bagi musim haji 1447H/2026M.

Daripada jumlah itu, seramai 507 orang terdiri daripada jemaah lelaki, manakala seramai 688 orang jemaah wanita.

Penerbangan haji bermula hari ini dengan seramai 142 bakal haji berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menjalani proses Makkah Route sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Majlis pelepasan jemaah disempurnakan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Haji Aman di Dewan Kinabatangan III, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab dan Pengarah Eksekutif Pengalaman Pelanggan, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Mohamed Ameen Abdul Wahab.

Majlis dimulakan dengan alunan zikir Asma’ul Husna dan bacaan doa yang dipimpin Mufti Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar, sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan wakil pengurusan TH dan perutusan khas Yang di-Pertua Negeri Sabah kepada jemaah.

Majlis kemudian diteruskan dengan sesi bersalaman Yang di-Pertua Negeri bersama jemaah haji selepas laungan azan. – Info X