KOTA KINABALU: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba di Sabah bagi memulakan Ekspedisi Mahkota Borneo pada Isnin.
Ketibaan baginda dengan pesawat TUDM di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) tengah hari tadi disambut Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan Dan Industri Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Sejurus tiba, Tengku Hassanal berkenan mengunjungi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu sebelum ke Kundasang, Ranau pada petang tadi untuk misi menawan Gunung Kinabalu, pagi esok.

Pada kunjungan di Istana Seri Kinabalu, Tengku Hassanal sempat bertukar-tukar idea dan pandangan bersama Tun Musa.
Hadir sama menyambut ketibaan Tengku Hassanal dalam kunjungan hormat itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan Dan Industri Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Tengku Hassanal dijadual menawan Gunung Kinabalu pada hari kedua ekspedisi esok dengan diiringi anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) dan pengiring rapat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, Nizam dalam perkongsian di Facebook beliau merafakkan sembah setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, menyambut keberangkatan tiba Tengku Hassanal di KKIA, tengah hari tadi.

“Keberangkatan Duli Tuanku ke Sabah adalah bersempena Ekspedisi Mahkota Borneo yang membawa semangat silaturahim dan mempererat hubungan antara negeri-negeri di Malaysia.
“Patik turut beroleh penghormatan mengiringi keberangkatan Duli Tuanku ke Istana Negeri Sabah bagi majlis mengadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Patik mendoakan semoga keberangkatan Duli Tuanku sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan Allah SWT serta dipermudahkan segala urusan.
Daulat Tuanku,” katanya. – Info X