KOTA KINABALU: Pembangunan bercampur bersepadu, The Logg, milik KTI Group (KTI Landmark Berhad) mengharumkan nama Sabah di pentas antarabangsa apabila meraih pengiktirafan berprestij pada International Property Awards Asia Pacific 2026-2027.
Dalam anugerah itu, The Logg menerima kemenangan lima bintang bagi kategori Best Mixed Use Architecture Malaysia dan Best Mixed Use Development Malaysia.
Malah, pembangunan berkenaan turut dicalonkan bagi kategori Best Mixed Use Development mewakili rantau Asia Pasifik di bawah International Property Awards, sekali gus meletakkan KTI Group sebaris dengan beberapa pemaju terkemuka di rantau ini.
Anugerah International Property Awards diiktiraf sebagai antara penghargaan paling berprestij dalam industri hartanah dunia yang meraikan kecemerlangan dalam bidang seni bina, pembangunan, reka bentuk dan hartanah di rantau Asia Pasifik.
Pengiktirafan lima bintang yang diterima The Logg pula disifatkan sebagai pencapaian tertinggi dalam kategori anugerah peringkat kebangsaan.
Kejayaan itu bukan sahaja mencerminkan peningkatan keupayaan industri hartanah dan pembinaan Malaysia di peringkat global, malah membuktikan kemampuan Sabah dalam menghasilkan pembangunan bertaraf antarabangsa.
The Logg yang terletak di tengah bandar Luyang, di sini, merupakan pembangunan bercampur bersepadu yang menggabungkan elemen kediaman, hospitaliti, komersial, runcit dan ruang komuniti dalam satu destinasi bandar moden.
Pengarah Eksekutif Kumpulan KTI Group, Wilson Loke, berkata pengiktirafan itu amat bermakna bukan sahaja kepada syarikat berkenaan, malah kepada Sabah secara keseluruhannya.
“Melihat The Logg, pembangunan oleh KTI Group, diiktiraf bersama beberapa projek terkenal di rantau ini membawa makna besar bukan sahaja kepada kami tetapi juga kepada Sabah.
“Ia menunjukkan sejauh mana industri hartanah tempatan telah berkembang sejak beberapa tahun lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan itu turut mencerminkan dedikasi dan kerjasama semua pihak yang terbabit termasuk perunding, arkitek, jurutera, kontraktor serta pasukan projek dalam merealisasikan pembangunan berkenaan.
Menurutnya, pencapaian itu juga menjadi simbol evolusi KTI Group daripada sebuah pemaju tempatan Sabah kepada kumpulan pemaju yang mampu menghasilkan pembangunan bertaraf antarabangsa.
Katanya, pengiktirafan berkenaan akan terus menjadi pemangkin kepada syarikat untuk meneruskan komitmen dalam menyumbang kepada pembangunan bandar dan kemajuan sektor hartanah di Sabah. – Info X