TAWAU: Kegembiraan sekumpulan remaja mandi di Rainforest Waterfall, Taman Perwira, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 14 tahun dikatakan mandi bersama 13 rakannya di lokasi berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.45 petang sebelum sepasukan anggota bersama Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikejarkan ke lokasi.
“Seramai lima anggota BBP Tawau bersama seorang anggota PPDA Zon Tawau digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, mangsa dipercayai sudah ditemukan oleh orang awam dan penduduk kampung sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi, mangsa dipercayai tidak pandai berenang ketika mandi di kawasan air terjun berkenaan.
Katanya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 6.38 petang.
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Jemishin berkata, pihaknya turut berdepan masalah liputan komunikasi di lokasi kejadian sepanjang operasi dijalankan. – Info X