Search

12 tan sampah dikumpul penduduk Pulau Gaya, ditukar dengan ayam

September 17, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 12 tan sampah berjaya dikumpul penduduk dua kampung di Pulau Gaya, di sini, yang menukarnya dengan ayam sempena Program Plastic For Food, hari ini.

Semua sampah itu ditukarkan dengan 3.6 tan ayam untuk diberikan kepada 450 keluarga dari Kampung Torong Logong dan Lobong.

Penduduk Kampung Torong Logong, Salina Banda, 33, berkata, dia bersama empat ahli keluarga mengambil kira-kira satu jam untuk mengumpulkan lapan plastik besar sampah di sekitar kawasan rumah.

“Sampah paling banyak yang kami ditemui adalah botol air mineral dan bakul plastik.

“Tidak dinafikan sebilangan sampah-sarap ini dibuang oleh penduduk setempat namun ada juga sampah yang hanyut daripada tanah besar ketika air pasang dan terdampar di kampung-kampung sekitar Pulau Gaya apabila air laut surut.

“Selaku penduduk di pulau ini, kita menyambut baik program seperti ini kerana boleh memberi lebih kesedaran kepada penduduk tentang kepentingan menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah sesuka hati,” katanya ketika ditemui media pada program berkenaan yang berlangsung di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, di sini, hari ini.

Dianjurkan Shangri-La Tanjung Aru Resort (STAR) buat julung kali, program berkenaan turut dihadiri Pengerusi Tanjong Aru Hotel Sdn Bhd, Datuk Edward Dagul; Pengurus Besar STAR, Conor Hadlington dan Pengarah Urusan Jetsin Sdn Bhd, Datuk Koh Chung Jade.

Sampah yang berjaya dikumpul penduduk dua kampung di Pulau Gaya, untuk ditukarkan dengan ayam sempena Program Plastic For Food, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Lobong Pulau Gaya, Rajit Serong berharap program sama dapat diteruskan dari semasa ke semasa.

“Ia penting ekoran kita mahu mendidik penduduk pulau ini tentang kebersihan secara berterusan.

“Saya yakin sikap menjaga kebersihan itu dapat dipupuk secara perlahan-lahan dan akhirnya menjadi kebiasaan dalam kalangan penduduk di pulau ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Tanjong Aru Hotel Sdn Bhd, Datuk Edward Dagul berkata, penduduk boleh menukar setiap satu plastik sampah yang dikumpulkan dengan satu kilogram ayam.

“Saya dapat melihat sambutan sangat memberangsangkan diberikan penduduk apabila kita berjaya mengumpulkan kira-kira 12 tan sampah.

“Semua sampah ini kita tukarkan dengan 3.6 tan ayam untuk diberikan kepada penduduk di dua kampung terlibat.

“Semua sampah ini akan diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk dibawa ke pusat pelupusan sampah Kayu Madang,” katanya. – Info X