Search

13 pelajar didapati bersalah bunuh rakan asrama, keputusan hukuman 28 Ogos

August 22, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seramai 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu didapati bersalah membunuh rakan mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17 di asrama kolej itu pada Mac tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Duncan Sikodol ketika prosiding keputusan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Tawau, di sini, pada Jumaat.

Duncan membuat keputusan itu selepas meneliti semua keterangan sepanjang perbicaraan dan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap semua tertuduh.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman ke 28 Ogos ini sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tertuduh berusia 16 hingga 19 tahun ketika kejadian itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mahkamah Tinggi Tawau memutuskan 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu bersalah membunuh rakan asrama mereka.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif bersama Ng Juhn Tao, manakala ASP Sudin Tjinke bertindak sebagai pegawai penyiasat.

Tertuduh diwakili pasukan pembelaan terdiri daripada beberapa firma guaman antaranya Ram Singh Harbans & Co; LCZ Law Firm (Sandakan); Johari, Zelika & Amin (Tawau); Vivian Thien & Associates; Kang Advocates, Kusni & Komariah serta Chang & Kamarudin.

Mangsa disahkan dibunuh di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu antara jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac 2024. – Info X