Search

130 asnaf di Telipok Ria terima bantuan tunai dari Kumpulan Yayasan Sabah

March 17, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Seramai 130 asnaf menerima bantuan tunai daripada Kumpulan Yayasan Sabah sempena majlis berbuka puasa anjuran yayasan itu di Masjid Umar Al-Khattab, Taman Telipok Ria, di sini, pada Sabtu.

Bantuan itu bagi meringankan beban mereka untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri pada akhir bulan ini.

Majlis anjuran Kumpulan Yayasan Sabah melalui Zon Pantai Barat Selatan itu dihadiri kira-kira 400 penduduk Taman Telipok Ria.

Menerusi satu kenyataan, Kumpulan Yayasan Sabah berkata program itu bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara warga yayasan berkenaan dengan masyarakat setempat.

Warga Kumpulan Yayasan Sabah bersama penduduk Telipok Ria menunaikan solat sunat Tarawih di Masjid Umar Al-Khattab.

Katanya, ia juga sebagai inisiatif Kumpulan Yayasan Sabah untuk menyantuni golongan yang memerlukan melalui sumbangan kebajikan.

Majlis itu dihadiri Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya dan Ketua Penyelaras Pentadbiran Zon Yayasan Sabah, Zulkhairi Ismail.

Turut hadir ialah Pengerusi Masjid Umar Al-Khattab, Nasruddin Muhd Ali.

Pada majlis itu Kumpulan Yayasan Sabah turut memberi pelbagai sumbangan keperluan asas kepada masjid Umar Al-Khattab termasuk tangki air, kipas industri, kit jenazah dan dapur gas lengkap dengan tong gas.

Majlis itu dimulakan dengan penyampaian sumbangan, diikuti sesi tazkirah, sebelum tetamu menikmati jamuan berbuka puasa bersama.

Kumpulan Yayasan Sabah mengadakan program buka puasa bersama penduduk Telipok Ria.

Selepas solat Maghrib, program diteruskan dengan solat Isyak dan solat Tarawih secara berjemaah.

Katanya, penganjuran majlis berbuka puasa itu mencerminkan komitmen Kumpulan Yayasan Sabah dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat. – Info X