KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mempersoalkan kejayaan yang didakwa dicapai kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mentadbir negeri dengan baik.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, dakwaan itu bertentangan dengan hakikat dihadapi rakyat Sabah yang ketika ini masih berdepan masalah keperluan asas seperti air.
“Kalau benar kerajaan GRS ini berjaya seperti yang didakwa, mengapa masih ramai rakyat Sabah mengalami kesukaran mendapatkan bekalan air bersih, mengapa sehingga ke hari ini, pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan, masih banyak kawasan mengalami gangguan air?
“Ini bukan dakwaan kosong tetapi hakikat yang rakyat sendiri alami setiap hari, begitu juga dengan masalah bekalan elektrik yang kerap terputus. Di Sabah hari ini, masalah elektrik sudah menjadi kebiasaan, jika sehari tidak mengalami gangguan bekalan, itu sudah dianggap luar biasa.
“Sampai bila rakyat perlu bertahan dengan keadaan ini? Selain itu, keadaan jalan raya di Sabah juga terus menjadi rungutan rakyat. Dari jalan kampung hingga ke lebuh raya utama, lubang sana sini yang boleh rosakkan kereta dan sebabkan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, baru-baru ini yang mempertahankan keupayaan kerajaan GRS – Pakatan Harapan (PH) Plus dalam mentadbir negeri dengan baik dan menyifatkan dakwaan kerajaan gagal hanya tanggapan puak lawan.
Berikutan itu, Bung Moktar mempersoalkan bagaimana kerajaan yang ada pada hari ini boleh mendakwa mentadbir dengan baik jika isu asas rakyat masih gagal diselesaikan.
ADUN Lamag itu berkata, soal ekonomi dan pekerjaan juga perlu diberi perhatian memandangkan ramai rakyat Sabah masih terpaksa berhijrah ke Semenanjung atau luar negara berikutan kekurangan peluang pekerjaan yang berkualiti di negeri sendiri.
Bung Moktar turut mendakwa kos sara hidup terus meningkat tetapi tiada pelan konkrit daripada kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban rakyat.
“Adakah semua ini mahu dinafikan? Adakah rakyat yang bersuara mengenai kesusahan mereka mahu dianggap sebagai penyebar fitnah?
“Rakyat Sabah tidak buta dan tidak tuli. Mereka sendiri yang merasai kesan daripada kegagalan pentadbiran kerajaan negeri hari ini,” katanya.
Beliau berkata, jika kerajaan GRS benar-benar berfungsi dengan baik, sepatutnya rakyat merasai kemajuan dan bukan sekadar mendengar angka serta laporan pencapaian di atas kertas.
“Kerajaan perlu jujur kepada rakyat dan bukan hanya bercakap soal kejayaan atas pentas politik sedangkan rakyat di bawah terus berdepan kesusahan setiap hari,” katanya.
“Justeru, biarlah rakyat Sabah yang menilai sendiri, pilihan raya akan datang adalah peluang untuk rakyat membuat keputusan sama ada mahu terus memberi mandat kepada kerajaan yang ada atau memilih perubahan untuk masa depan yang lebih baik,” katanya. – Info X