Search

130,397 penghuni setinggan di 285 koloni seluruh Sabah

March 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Induk Menangani Setinggan di Sabah mengenal pasti seramai 130,397 penghuni setinggan di 285 koloni atau penempatan yang menempatkan sebanyak 33,566 rumah di Sabah ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, yang mempengerusikan jawatankuasa itu, berkata hanya tiga daerah, iaitu Ranau, Kota Belud dan Tuaran yang dikenal pasti tiada penempatan setinggan.

Berikutan itu, beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah perlu mewujudkan pelan menangani isu setinggan di kawasan masing-masing bagi mencapai sasaran sifar setinggan.

“Saya ingin melihat lebih banyak daerah merekodkan sifar setinggan. Daerah yang mempunyai banyak koloni setinggan hendaklah mencapai penurunan yang ketara menjelang akhir 2025,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 dan Majlis Amanat Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah 2024, di sini, malam tadi.

Berikutan itu, Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, berkata pihaknya mengarahkan semua PBT di negeri ini untuk menyediakan kajian keperluan perumahan di daerah masing-masing.

Jelasnya, semua PBT juga diminta mengenal pasti dan menyenaraikan tanah yang boleh dibangunkan untuk melaksanakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam usaha menyediakan perumahan kepada rakyat di negeri ini.

Sementara itu, beliau meminta semua Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah di Sabah supaya melipatgandakan usaha memperkasa PBT masing-masing dengan menitikberatkan perkhidmatan kepada penduduk.

“Saya sudah memulakan jelajah ke semua PBT di Sabah dengan melawat Majlis Daerah Tenom, Nabawan, Keningau dan Tambunan setakat ini dan saya melihat masalah yang dihadapi PBT lebih kurang sama.

“Antaranya ialah mengenai kekurangan kewangan dan kakitangan, manakala kemudahan asas yang disediakan PBT secara umum sudah usang dan tidak diselanggara dengan baik,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan Presiden Majlis Perbandaran dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah supaya berusaha ke arah mandiri kewangan dengan meningkatkan usaha menjana pendapatan dan mengelak pembaziran serta ketirisan.

“Setiap PBT juga harus mempunyai senarai keutamaan projek pembangunan mengikut keperluan mendesak masing-masing dan bukan mengikut senarai permohonan pihak luar.

“Presiden dan Pegawai Eksekutif juga hendaklah mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah semasa, misalnya pembersihan berterusan dan tidak hanya menunggu sehingga konsesi pembersihan dilantik,” katanya.

Dr Joachim turut menegur sesetengah kakitangan PBT yang datang kerja sesuka hati tanpa mengikut jadual masa penjawat awam, selain sikap pegawai yang didakwa sukar ditemui di pejabat hingga orang ramai sukar berurusan. – Info X