Search

Malaysia tolak semua tuntutan Sulu ke atas Sabah

March 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Malaysia menolak semua tuntutan yang dibuat pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah, termasuk kes terbaharu membabitkan sebuah kumpulan yang menamakan diri sebagai United Tausug Citizens People of The Sultanate of Sulu (UTC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kumpulan yang mendakwa penjaga sah wilayah Kesultanan Sulu itu mengemukakan dua tuntutan tidak berasas kepada kerajaan Malaysia.

Katanya, kumpulan terbabit meminta kerajaan Malaysia untuk membayar segera wang penyerahan (Cession Money) sebanyak USD 15 bilion dan mengiktiraf UTC sebagai sebuah kerajaan merdeka dan berdaulat.

Beliau berkata, kumpulan itu juga mengancam untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Malaysia di Amerika Syarikat.

“Ini cubaan terbaharu yang tidak berasas oleh sebuah kumpulan untuk menuntut kedaulatan wilayah Malaysia dan untuk memeras ugut bayaran yang tidak berasas daripada Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sebelum ini Malaysia berjaya mengalahkan cubaan sama yang dibuat di Eropah oleh pihak mendakwa waris Sultan Jamalul Kiram II berdasarkan anugerah timbang tara yang menipu dikeluarkan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa.

“Kesultanan Sulu sudah tidak berfungsi selama beberapa dekad dan tidak diiktiraf oleh mana-mana negara atau pertubuhan antarabangsa.

“Sabitan terbaharu terhadap Dr Gonzalo Stampa oleh Mahkamah Jenayah Madrid iaitu penjara enam bulan dan setahun hilang kelayakan sebagai penimbang tara mengesahkan salah guna jenayah dalam proses timbang tara dan ketidakadilan teruk dialami Malaysia berikutan kes Sulu itu,” katanya.

Azalina menegaskan, Malaysia tidak pernah mengikhtiraf legitimasi tuntutan ke atas kedaulatan, wilayah dan sumber semula jadi Sabah.

“Kerajaan Malaysia sekali lagi menekankan bahawa penentuan nasib sendiri oleh rakyat Sabah untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia sudah menjadi satu penyelesaian mengikut undang-undang sejak dekolonisasi pada 1963. Sejak itu, Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, sistem timbang tara komersial antarabangsa adalah satu mekanisme penting dalam pertikaian penyelesaian global dan mesti dilindungi daripada cubaan menyalahi undang-undang untuk memeras ugut negara berdaulat yang bertopengkan tuntutan timbang tara.

Azalina menegaskan, kerajaan Malaysia melihat semua kemungkinan penyelesaian perundangan untuk menentang tuntutan remeh bagi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara sepanjang masa. – Info X