KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyatakan komitmen berterusan untuk memperkukuh agenda pendidikan menerusi pelaksanaan pelbagai bantuan dan tajaan bagi memastikan lebih ramai anak negeri ini mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan merangkumi peringkat awal kanak-kanak sehingga ke institusi pengajian tinggi.
Sehubungan itu, beliau berkata, sebanyak 14 inisiatif bantuan pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021 hingga 2025 akan diteruskan bagi meringankan beban pelajar dan keluarga di negeri ini.
“Antara bantuan yang disediakan termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA), Bantuan Yuran Peperiksaan (BAYU), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) serta Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MEKAR) Ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.
Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri turut memperkenalkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) sebagai platform bersepadu bagi menghimpunkan pelbagai badan penaja pendidikan di bawah satu sistem.
Katanya, PTPS memudahkan proses permohonan tajaan pendidikan agar lebih cepat, efisien dan mesra pengguna, sekali gus memastikan lebih ramai pelajar dapat menikmati manfaat bantuan yang disediakan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan supaya maklumat berkaitan semua inisiatif pendidikan itu diperluaskan sehingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.
Pada masa sama, katanya kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan dalam memperkukuh prasarana pendidikan, memperluas pembangunan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain mempercepat agenda pendigitalan pendidikan bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing. – Info X