TENOM: Kerajaan negeri akan memperkenalkan bantuan sekali beri (one-off) dalam bentuk bekalan makanan kepada penternak babi berskala kecil di negeri ini bagi membantu mengurangkan kos operasi dan meningkatkan pengeluaran ternakan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata bantuan itu akan disalurkan kepada penternak yang memelihara 50 ekor babi dan ke bawah.
Beliau berkata, langkah berkenaan dilaksanakan selepas mendapati industri ternakan babi sebelum ini kurang mendapat perhatian berbanding sektor ternakan lain.
“Sebelum ini tidak pernah kita bagi bantuan kepada penternak babi kecil-kecilan. Kita bantu lembu, kambing, ayam dan ikan, tetapi industri ini terlepas pandang,” katanya.
Katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah sudah diarahkan untuk menyediakan peruntukan khas bagi melaksanakan bantuan itu dalam tempoh terdekat.
“Kita akan cuba usahakan supaya mereka juga mendapat bantuan daripada kerajaan dalam bentuk makanan ternakan,” katanya.
Beliau berkata, bantuan itu penting memandangkan harga produk berasaskan babi seperti sinalau bakas (daging salai) semakin meningkat dan membebankan pengguna.
“Kita tahu sekarang ramai orang mengeluh kerana harga sinalau bakas sudah mencecah kira-kira RM47 sekilogram,” katanya.
Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata, kenaikan harga turut dipengaruhi kekurangan bekalan selepas kawalan pemburuan babi hutan dilaksanakan sejak dua tahun lalu susulan ancaman penyakit.
Katanya, kerajaan negeri masih mengekalkan larangan pemburuan babi hutan bagi memastikan populasi haiwan itu kembali pulih.
Dalam usaha memenuhi permintaan pasaran, beliau berkata, kerajaan membenarkan enam syarikat mengimport daging babi dari luar negara, antaranya dari Denmark dan Norway.
“Setiap pengimport dibenarkan membawa masuk dua kontena dan secara keseluruhannya kira-kira 10 kontena akan masuk setiap bulan bagi memenuhi keperluan tempatan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Kerajaan tetap komited mempertahankan industri ternakan babi tempatan melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan makanan kepada penternak kecil.
“Mudah-mudahan apabila populasi babi hutan semakin meningkat, kita akan dapat membuka semula aktiviti pemburuan secara terkawal, manakala industri ternakan tempatan terus berkembang,” katanya. – Info X