TUARAN: Seramai 14 pelancong warga Korea berdepan detik cemas selepas bot dinaiki tersangkut di kawasan pokok nipah di Sungai Bolong, di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan 9.50 malam mengatakan terdapat sebuah bot pelancong tersangkut di kawasan pokok nipah akibat daripada arus sungai yang kuat.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran digerakkan ke tempat kejadian.
“Kejadian membabitkan keseluruhan 16 individu iaitu sembilan wanita dewasa, empat lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki serta dua orang jurumudi yang berada di dalam bot berkenaan.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi bertindak memindahkan semua pelancong dan jurumudi ke tebing sungai dengan menggunakan bot orang kampung,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa kemudian diserahkan kepada agensi pelancongan yang bertanggungjawab mengendalikan pelancong berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
“Semua mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat dan operasi menyelamat turut dibantu Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Operasi keseluruhan ditamatkan jam 12.57 tengah malam selepas memastikan tiada unsur bahaya lain di lokasi,” katanya. – Info X