Search

Dua import baharu Sabah FC beraksi esok

July 7, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC bakal diperkuat dua pemain import baharu apabila melayan kunjungan Kuching City FC dalam aksi Liga Super, di Stadium Likas, di sini, petang esok.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, Miguel Angel Garrido Cifuentes dan Ramon Machado de Macedo akan diturunkan esok namun ia masih tertakluk kepada Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) yang dijangka diterima hari ini atau sebelum perlawanan itu.

Katanya, kehadiran Miguel Angel atau lebih dikenali sebagai Cifu dan Ramon, masing-masing berasal daripada Sepanyol dan Brazil diyakini mampu membantu Sabah untuk mencapai kemenangan esok.

“Pada masa sama kita perlu berikan sedikit masa kepada Cifu dan Ramon untuk mendapatkan persefahaman secukupnya sebelum terus beraksi bersama Sabah FC.

“Pemain lain sudah bermain bersama pasukan sebelum Liga Malaysia 2023 bermula dan sudah pasti dengan kemasukan Cifu dan Ramon mengambil sedikit masa untuk memahami corak taktikal Sabah FC,” katanya mengulas persiapan Sabah menentang Kuching City dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, esok.

Sabah FC mengikat Cifu yang sebelum ini bermain bersama Kelantan FC dan Ramon yang sebelum ini bermain bersama kelab dalam Liga Perdana Azerbaijan menerusi jendela perpindahan Liga Malaysia 2023 yang bermula 5 Julai hingga 1 Ogos ini.

Cifu yang bermain di posisi sayap, manakala Ramon selaku penyerang disasar untuk memperkuat Sabah FC dalam usaha menambah baik prestasi pasukan sepanjang baki perlawanan Liga Super musim ini.

Sementara itu, Kim Swee berkata, beliau lebih suka memikirkan satu perlawanan ke satu perlawanan yang bakal dihadapi Sabah FC berbanding dua atau lebih perlawanan sekali gus.

“Saya tidak ingin mengatakan apa yang perlu kita lakukan pada dua perlawanan jika perlawanan pertama kita gagal untuk mendapatkan objektifnya,” katanya.

Kim Swee berkata, apa yang Sabah FC inginkan adalah untuk mendapatkan keputusan yang positif terutama menentang pasukan Kuching City FC petang esok.

“Kita yakin Sabah FC kini berada di landasan betul untuk mengharungi baki persaingan liga sekali gus mencapai keputusan positif pada setiap perlawanan,” katanya.

Ketika ini Sabah FC berada di tangga kelima carta Liga Super dengan mengumpul 27 mata daripada 15 perlawanan setakat ini, hanya ketinggalan satu mata di belakang Kedah Darul Aman FC yang berada di tangga keempat. – Info X