NABAWAN: Sebanyak 14 rumah termasuk dua rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tikandis, Jalan Sepulut, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Pegawai Bomba Kanan II Shellverinus Julius berkata, dua jentera bersama sembilan pegawai dan anggota ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 9.16 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan 14 rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya termasuk dua rumah PPRT dengan anggaran keluasan kebakaran 700 meter persegi.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran, satu pancutan menggunakan portable pum sumber air terbuka iaitu tangki air dan sungai berhampiran,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi dilaporkan terkawal pada jam 11:30:00 dan pemadaman bara-bara api masih dijalankan di lokasi kejadian.
Sementara itu, mengenai operasi, beliau berkata, jentera Fire Rescue Tender (FRT) tidak dapat ke lokasi kebakaran disebabkan jalan raya rosak, sempit dan tidak berturap.
“Terdapat juga laluan jalan yang curam dan jenis tanah merah yang licin.
“Pasukan bomba hanya menggunakan jentera Fire Response Vehicle (FRV) untuk masuk ke kawasan kampung bagi menjalankan operasi mengawal kebakaran,” katanya.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini berkenaan.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X