Search

Maximus bercuti, Dr Joachim memangku jawatan presiden PBS

April 6, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam bakal memangku jawatan presiden parti itu berkuatkuasa 1 Jun depan.

Berdasarkan kenyataan media dikeluarkan Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki, hari ini, mulai tarikh itu, Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mula bercuti dari jawatannya.

Katanya, jawatan disandang Dr Joachim selaku timbalan presiden bagi kuota kuning atau Bumiputera bukan Islam pula akan dipangku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai yang juga Ketua Penerangan parti itu.

Joniston

“Dengan Dr Joachim naik sebagai pemangku presiden, Ketua Penerangan, Datuk Joniston Bangkuai akan melaksanakan tanggungjawab tambahan sebagai pemangku timbalan presiden.

“Perkembangan ini menunjukkan komitmen parti dalam memastikan kesinambungan dan adaptasi dalam struktur kepemimpinan PBS demi kepentingan parti dan ahlinya,” katanya.

Difahamkan, Dr Joachim dipilih untuk memangku jawatan tertinggi PBS itu berdasarkan kedudukannya sebagai timbalan presiden paling kanan dalam kalangan tiga timbalan presiden PBS.

Dua lagi timbalan presiden PBS ialah Datuk Jahid Jahim bagi kuota Bumiputera Islam dan Datuk Dr Yee Moh Chai yang mengisi kuota bukan Bumiputera.

Maximus dilantik sebagai Presiden PBS pada 2018 selepas setahun memangku jawatan itu apabila penyandang ketika itu, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengumumkan persaraan.

Pada 28 Jun 2022, Maximus yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Marudu mengumumkan akan melepaskan jawatannya sebagai presiden dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, tempoh diberikan itu bertujuan membolehkan parti berkenaan mengenal pasti calon sesuai untuk mengambil alih tempatnya.

Beliau sebelum itu diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden pada pemilihan PBS sempena Persidangan Tahunan PBS Ke-37 pada 29 Jun 2022. – Info X