KOTA BELUD: Sebanyak 14 rumah jenis separuh kekal terbakar dalam kejadian di Kampung Melangkap Kapa, di sini, pagi tadi.
Daripada jumlah itu, sepuluh musnah sepenuhnya manakala empat lagi rosak kira-kira 10 peratus namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.57 pagi.
Katanya, tujuh anggota bersama dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pangkalan Abai digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 36 kilometer dari balai.

“Pasukan tiba pada jam 11.48 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan 14 rumah dengan sepuluh daripadanya terbakar 100 peratus.
“Jentera FRT tidak dapat memasuki lokasi kejadian berikutan laluan sempit serta keadaan jambatan yang tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 91 meter dengan dua pancutan serta bantuan pam angkut yang mengambil sumber air terbuka dari sungai berhampiran.

“Operasi berjaya dikawal pada jam 12.21 tengah hari dan kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan tiada sisa bara yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.
Tambahnya, selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.15 petang.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kekuatan keseluruhan 10 anggota bomba. – Info X