Search

Sabah Net diarah pulihkan liputan internet di kampung terjejas banjir

February 21, 2026

Info X Reporters

PAITAN: Sabah Net Sdn Bhd (Sabah Net) memasang segera kemudahan internet menggunakan satelit Starlink di kampung yang terputus jaringan komunikasi akibat banjir di daerah ini.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib, berkata kemudahan itu penting bagi memastikan penduduk dapat berhubung dengan pihak berkuasa serta ahli keluarga, selain mempercepatkan penyelarasan bantuan.

“Tindakan segera telah diambil bagi memastikan penduduk di kawasan terjejas banjir di Paitan terus mendapat akses komunikasi dan bantuan yang sewajarnya.

“Banjir kali ini antara yang terbesar dalam sejarah kawasan Sugut, melibatkan sebanyak 87 kampung. Setakat ini, sebanyak 22 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan 250 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan kira-kira 700 mangsa yang terjejas.

“Sebahagian besar kampung terputus hubungan sama ada melalui jalan darat mahupun rangkaian komunikasi. Sehubungan itu, saya telah mengarahkan Sabah Net untuk menyelaras dan mempercepatkan pemasangan kemudahan internet satelit Starlink di kampung yang terputus jaringan komunikasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut itu, berkata pada masa yang sama, kerajaan turut membekalkan perahu dan enjin sangkut bagi kegunaan operasi pemindahan mangsa banjir ke PPS serta mempercepatkan usaha menyelamat di kawasan yang dinaiki air.

Jelasnya, penyediaan kemudahan komunikasi dan aset logistik itu penting bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin serta operasi bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan tersusun.

“Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan semua mangsa yang terjejas menerima bantuan yang sewajarnya sehingga keadaan kembali pulih,” katanya. – Info X