PITAS: Dua lori 10 tan terpaksa digunakan bagi meredah laluan banjir untuk membawa keluar 67 penduduk Kampung Sibaung, di sini yang terperangkap selepas kediaman mereka dinaiki air, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.16 pagi sebelum lapan anggota bersama dua lori 10 tan digerakkan ke lokasi sejauh lapan kilometer.
“Pasukan tiba pada jam 1.25 pagi dan mendapati beberapa rumah terjejas akibat banjir sehingga menyebabkan penduduk tidak dapat keluar sendiri.
“Laluan masuk ke kampung tidak dapat dilalui jentera bomba, justeru operasi pemindahan dijalankan menggunakan dua lori 10 tan untuk membawa mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Resthouse,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kesemua 67 mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat membabitkan 10 lelaki dewasa, 32 wanita dewasa, 15 kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.40 pagi selepas keadaan disahkan terkawal dan tiada mangsa lain terjejas. – Info X