Search

Bantuan mangsa banjir di Paitan disalur segera – James Ratib

February 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bantuan segera disalurkan kepada mangsa banjir di Paitan susulan banjir besar yang melanda daerah itu pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib, berkata bantuan makanan disalurkan serta-merta sejak semalam.

“Persiapan pemunggahan bantuan makanan untuk mangsa banjir di Paitan telah bermula serta-merta sejurus banjir besar melanda daerah ini hari ini (Jumaat).

“Saya telah mengarahkan agar segala bentuk bantuan diselaraskan dengan pantas dan teratur bagi memastikan keperluan asas mangsa terjejas dapat disampaikan tanpa berlengah,” katanya menerusi perkongsian di Facebook beliau.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi itu, berkata keutamaan ketika ini adalah keselamatan dan kebajikan keluarga yang terkesan akibat banjir.

Beliau menaklumkan sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) disediakan di daerah itu bagi membolehkan penduduk yang terjejas berpindah.

PPS terbabit ialah di SMK Simpangan, Dewan Binsulung, Masjid Kaindangan, Batangon Darat, Dewan Tangkarason (Kg Baru), SK Lubang Buaya, Gereja Puru Batu, Masjid Simpangan dan Masjid Batangon Laut.

“Sehubungan itu, penduduk yang terjejas dinasihatkan untuk berpindah segera ke PPS terdekat dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Doakan agar segala urusan dipermudahkan dan mangsa-mangsa banjir di Paitan serta kawasan sekitar termasuk Sugut diberi kekuatan menghadapi ujian ini,” katanya. – Info X