Search

15 April sebutan semula kes bunuh, kerat wanita

February 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret, di sini, menetapkan 15 April depan untuk sebutan semula kes bunuh dan kerat seorang wanita yang anggota badannya ditemui di beberapa lokasi di Indah Permai, Sepanggar pada 12 Februari lalu.

Tarikh itu ditetapkan selepas tertuduh, Piluta Samad, 71, selesai mendengar pertuduhan terhadapnya di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Tertuduh berdepan pertuduhan membunuh seorang wanita tanpa dokumen mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara untuk tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan minimum 12 sebatan jika tidak dihukum mati setelah disabitkan kesalahan.

Piluta yang tidak diwakili peguam mengaku memahami pertuduhan yang dihadapinya, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan ia membabitkan kes bunuh.

Pengakuan tertuduh hanya direkodkan apabila kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sendiri didakwa membunuh Hamidah Husin @ Lisa antara jam 6 petang hingga 7 malam pada 11 Februari lalu.

Pembunuhan itu dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar, dekat sini.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kareena Kaur Gill Karamjit Singh memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan DNA, patologi, forensik dan kimia kes berkenaan.

Kareena turut membantah jaminan terhadap tertuduh berikutan kes serius yang dihadapinya.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 April depan sebagai tarikh sebutan semula dan memerintahkan tertuduh terus ditahan sehingga kesnya selesai.

Dalam kejadian pada 12 Februari lalu, seorang wanita berumur 44 tahun ditemukan maut dalam keadaan anggota tubuhnya dikerat kepada beberapa bahagian sebelum dibuang di beberapa lokasi sekitar Indah Permai, Sepanggar, dekat sini.

Pembunuhan itu terbongkar pada kira-kira jam 6.30 pagi selepas seorang pekerja lori sampah menemukan anggota badan manusia ketika menjalankan tugas rutin.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan kurang 24 jam selepas penemuan mayat mangsa, sebelum beberapa tangkapan susulan dilakukan bagi membantu siasatan.

Lelaki berumur 71 tahun itu yang dipercayai bekas tunang mangsa dikenal pasti sebagai suspek utama, manakala tiga anaknya, masing-masing dua perempuan dan seorang lelaki turut ditahan bagi membantu siasatan. – Info X