PENAMPANG: Tindakan seorang lelaki bersenjatakan pisau menyamun sebuah premis 24 jam di daerah ini, awal pagi Rabu lalu, berakhir apabila dia diberkas polis kurang 48 jam selepas kejadian.
Dalam kejadian jam 3.57 pagi itu, suspek berusia 33 tahun dipercayai merompak wang tunai dianggarkan RM300 sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berjaya menahan suspek di sebuah hotel di Putatan, semalam.
“Suspek ditahan kurang 48 jam selepas kejadian dilaporkan.
“Turut dirampas beberapa barangan dipercayai digunakan ketika kejadian termasuk helmet, pakaian, sebilah pisau serta sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau membabitkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Hasil siasatan lanjut juga mendapati suspek dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun lain yang dilaporkan di sekitar daerah ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.
Sementara itu, Sammy berkata orang ramai diseru supaya menjadi mata dan telinga pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi membantu usaha membanteras jenayah serta mengekalkan keselamatan komuniti. – Info X