KUDAT: Cubaan membawa muatan petrol dan diesel tanpa permit sah gagal apabila sebuah bot kargo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat di perairan Kuala Kaindangan, Pitas, semalam.
Bot berkenaan dikesan bot ronda APMM ketika menjalankan rondaan rutin sebelum pemeriksaan lanjut mendapati ia membawa barang kawalan tanpa sebarang dokumen pengesahan.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Hasbullah Omar berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot kargo itu membawa petrol dan diesel yang dipercayai barang kawalan tanpa permit atau kebenaran daripada pihak berkuasa.

“Bot terbabit dikendalikan seorang tekong lelaki warga tempatan berusia 60 tahun bersama seorang kru lelaki berusia 38 tahun.
“Kedua-duanya gagal mengemukakan dokumen berkaitan pengangkutan barang kawalan ketika diminta pegawai pemeriksa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bot kargo bersama muatan kemudian ditahan dan diiring ke Jeti Sabah Port Kudat untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran sah,” katanya.
Hasbullah berkata, pihaknya akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan di perairan utara Sabah bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta penyalahgunaan barang kawalan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera,” katanya. – Info X