TAWAU: Sebanyak 15 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka diami musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Batu Tengah, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, empat rumah termasuk dua rumah kongsi yang mempunyai lapan dan empat pintu musnah terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.13 pagi.
Katanya, susulan itu, sepasukan 18 anggota dan pegawai bersama empat jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, beberapa kediaman termasuk rumah kongsi sudah musnah terbakar dan operasi memadam terus dilakukan.
“Operasi pemadaman menggunakan empat pancutan air daripada sumber air terbuka iaitu parit berhampiran dan jentera bomba,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba menghadapi cabaran ketika operasi kerana ketiadaan pili bomba berhampiran, faktor jalan yang sempit dan sesak serta kedudukan rumah yang terlalu rapat.
“Bagaimanapun, hasil kepantasan pasukan bomba berjaya menyelamatkan beberapa buah rumah berhampiran daripada musnah terbakar.
“Hasil pemeriksaan awal, kebakaran membabitkan kemusnahan sebuah rumah dua tingkat, rumah jenis separuh kekal serta dua rumah kongsi mempunyai lapan dan empat pintu,” katanya.
Menurutnya, kebakaran hanya membabitkan kemusnahan harta benda sahaja dan tiada laporan mengenai kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.24 pagi.
“Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X