KUDAT: Seramai sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kudat dalam Op Sejahtera di perairan Pulau Kalampunian, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 9.30 malam itu, semua PATI terbabit membabitkan lapan lelaki termasuk pengendali bot dan seorang wanita berusia lingkungan 11 hingga 59 tahun.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, pihaknya menerima maklumat daripada bahagian perisikan berkenaan pergerakan sebuah bot dari kepulauan Mangsi dipercayai cuba membawa masuk PATI daripada negara jiran itu.
Katanya, Aset ronda APMM, Zon Maritim Kudat yang pada ketika itu sedang menjalankan rondaan Op Sejahtera segera diatur gerak ke lokasi.

“Kira-kira jam 10 malam, sebuah pam bot berjaya dikesan sedang bergerak dalam keadaan gelap menuju ke Simpang
Mengayau, Kudat di posisi 0.7 batu nautika barat laut Pulau Kalampunian.
“Bot berkenaan yang sarat dengan penumpang segera ditahan dan diperiksa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, terdapat seramai lapan lelaki termasuk pengendali bot dan seorang wanita berada didalam bot berkenaan.
“Semua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pada hari yang sama jam 5.35 petang, bertindak berdasarkan
maklumat yang diterima daripada pihak SWASLA Sabah berkenaan pengesanan curiga pergerakan sebuah bot memasuki perairan negara.

Katanya, bot berkenaan berjaya ditahan di posisi 3.05 batu nautika timur laut Tanjung Agong-Agong.
“Selepas diperiksa, terdapat dua lelaki warga Filipina yang mengendalikan bot itu. Pemeriksaan juga mendapati, bot terbabit membawa muatan pelbagai jenis ikan hidup tanpa permit yang sah dianggarkan 170 kilogram.
“Bot bersama individu serta barang yang ditahan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau lagi, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 6(1)(c) dan Akta Perikanan 1985. – Info X