KOTA KINABALU: Seramai 156 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam 15 operasi penguatkuasaan di lima daerah di negeri ini, sejak Selasa lalu hingga hari ini.
Operasi yang dijalankan di Kota Kinabalu, Tawau, Semporna, Kudat dan Ranau itu menyaksikan seramai 322 individu diperiksa bagi membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, daripada jumlah yang ditahan, seramai 140 individu adalah warga Filipina, 11 warga Indonesia dan lima warga Pakistan.
“Jumlah warga Filipina yang ditahan membabitkan 40 lelaki dewasa, 40 wanita dewasa, 38 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan.
“Bagi warga Indonesia pula, tangkapan membabitkan empat lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
“Lima lagi yang ditahan adalah lelaki dewasa warga Pakistan,” menurut kenyataan itu.
JIM Sabah memaklumkan, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan di lokasi strategik seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.
Katanya, usaha itu juga bertujuan membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.
“Sebarang maklumat mengenai kegiatan PATI boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) JIM,” katanya. – Info X