KINABATANGAN: Pasukan bomba menjalankan rondaan dan pemeriksaan di beberapa lokasi di daerah ini susulan gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 yang berlaku di Kuamut, awal pagi hari ini.
Gempa pada jam 5.32 pagi itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kerosakan struktur atau runtuhan berdasarkan pemeriksaan awal pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba Suriyadi Drawis berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6.21 pagi sebelum enam anggota digerakkan untuk menjalankan rondaan dan pemantauan.
Katanya, pemeriksaan dilakukan di beberapa lokasi termasuk Sedco Kinabatangan, Perpustakaan Bukit Garam dan Bukit Garam Point serta kawasan yang dikenal pasti berisiko.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada kerosakan struktur pada bangunan yang diperiksa dan tiada kejadian runtuhan dilaporkan.
“Pasukan turut memberikan nasihat keselamatan kepada penduduk supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan gegaran susulan serta segera memaklumkan pihak berkuasa sekiranya terdapat kerosakan atau kecemasan,” katanya.

Menurutnya, operasi membabitkan enam anggota BBP Kinabatangan bersama jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) itu ditamatkan pada jam 7 pagi selepas keadaan didapati selamat dan terkawal.
Sementara itu, menurut maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 itu berlaku di Kuamut pada kedalaman 118 kilometer.
Pusat gempa dikesan pada koordinat 5.1 darjah Utara dan 116.8 darjah Timur, kira-kira 34 kilometer barat daya Tongod, Sabah dan 223 kilometer barat laut Tarakan, Indonesia.
METMalaysia memaklumkan kejadian itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia. – Info X