Search

17 PATI ditahan dalam operasi penguatkuasaan JIM Sandakan

December 3, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan di sekitar daerah ini yang dijalankan bermula 1 Disember sehingga semalam.

Operasi itu dilancarkan susulan aduan awam serta risikan hampir seminggu di beberapa lokasi berasingan yang dikenal pasti sering menjadi tumpuan warga asing tanpa dokumen sah.

JIM melalui kenyataan rasmi di Facebook hari ini berkata, seramai 10 pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Sandakan terbabit dalam siri pemeriksaan yang dijalankan terhadap 58 individu di beberapa kawasan tumpuan.

“Hasil pemeriksaan, 17 warga asing, masing-masing dari Filipina dan Indonesia ditahan kerana disyaki melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Dua borang saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan dijalankan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, semua individu yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, dan kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

JIM Sabah menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI, selain menyeru orang ramai terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman kawasan setempat. – Info X