KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Ceasar Mandela Malakun menyifatkan pelantikannya sebagai seorang ADUN satu tanggungjawab besar.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Moyog itu berkata, amanah berkenaan bukan satu keistimewaan bagi dirinya.
Berikutan itu, beliau menyatakan tekad untuk memberiman komitmen penuh terhadap tugas baharu itu demi kemajuan Sabah.
“Syukur dan dengan penuh rasa tanggungjawab, pada petang semalam, saya telah mengangkat sumpah sebagai ADUN Dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Pembantu Menteri dalam kerajaan negeri.
“Amanah ini bukan satu keistimewaan, tetapi satu tanggungjawab besar untuk terus bekerja, berkhidmat dan membawa suara rakyat ke dalam pembangunan Sabah.
“Saya berjanji untuk memberikan komitmen sepenuhnya demi kemajuan, kebajikan dan masa depan negeri yang kita cintai.
“Terima kasih kepada kepimpinan negeri atas kepercayaan ini, dan terima kasih kepada rakyat yang sentiasa menjadi nadi perjuangan saya,” katanya dalam maklum balas mengenai pelantikannya sebagai ADUN dan Pembantu Menteri.
Mandela adalah antara enam ADUN Dilantik dan antara 17 Pembantu Menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu pada Selasa.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Razali Razi yang turut menerima pelantikan sebagai ADUN Dilantik menyifatkannya satu amanah untuk memperjuangkan suara rakyat.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau yang turut dikenali sebagai Datuk Bob itu berkata kepercayaan yang diberikan adalah satu tanggungjawab besar yang akan dipikul dengan penuh iltizam, khususnya dalam memastikan masyarakat Darau terus mendapat pembelaan dan perhatian sewajarnya.

“Politik bukan pentas mencari kemewahan, tetapi ruang untuk membawa suara rakyat yang kadang-kadang tenggelam di tengah hiruk-pikuk percaturan kuasa. Amanah ini saya pikul dengan hati yang rendah diri,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Razali yang juga Setiausaha Eksekutif Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut menyatakan rasa syukur atas rezeki dan peluang yang diberikan, sambil menyifatkan perjalanan turun padangnya sebelum ini seperti berjumpa penduduk, mendengar keluhan dan memahami isu setempat adalah sebahagian daripada aturan Allah untuk mempersiapkannya ke tahap ini.
“Segala usaha ini adalah untuk Darau. Untuk keluarga yang saya temui di jalan kampung, untuk anak muda yang membawa impian besar, untuk ibu bapa yang mahukan masa depan lebih terjamin. Darau bukan hanya kawasan, ia adalah jiwa perjuangan saya,” katanya.
Empat lagi ADUN Dilantik ialah bekas Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Roger Chin Ken Fong, Datuk Ir Chin Shu Ying (GRS), Datuk Kasim Razali (GRS) dan Grace Lee Li Mei (PKR). – Info X